15 April 2025 – Yang Berusaha Pengarah Politeknik Kota Bharu (PKB), Dr. Haji Mohd Daud bin Isa telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Penganjuran MyPolyCC Sport Carnival (MSC) 2025 yang berlangsung di Bilik Persidangan Politeknik Besut, Terengganu pada jam 2.30 petang.
Mesyuarat ini diadakan susulan pelantikan rasmi PKB sebagai Pengelola kejohanan peringkat Kebangsaan oleh Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (BAPP JPPKK).
 
Dalam mesyuarat ini, Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Kota Bharu (KJSKK PKB) Ts. Haji Sazami bin Shafi'i A.S.K telah menyampaikan taklimat penganjuran MSC 2025 dengan membentangkan perangkaan awal daripada PKB selaku pengelola. Mesyuarat telah dihadiri oleh para pengarah institusi, Ketua-ketua Jabatan Sukan Kokurikulum, Kokurikulum dan Kebudayaan serta Pegawai Belia dan Sukan dari semua Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) di zon Kelantan dan Terengganu. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Akademik PKB, YBrs. Ir. Haji Mohd Zaidi bin Che Mod.
 
Antara agenda utama mesyuarat ialah perbincangan mengenai senarai acara dan lokasi perlawanan, cadangan pembahagian jawatankuasa kerja serta pembentangan bajet program. Kredit dan penghargaan diberikan kepada Pengarah PBT. YBrs. En. Udom a/l Ewon di atas kerjasama sebagai venue Mesyuarat kali ini dan Jawatankuasa Mesyuarat dari Jabatan Sukan Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) PKB yang telah bertungkus lumus memastikan kelancaran mesyuarat ini.
Dengan permulaan yang kukuh ini, PKB optimis untuk menganjurkan kejohanan MSC 2025 yang berprestij dan penuh semangat kesukanan.