16 April 2025 – Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Kota Bharu (JSKK PKB) telah menganjurkan Cocurriculum Comprehensive Camp (3C) Vol. 1/2025 yang julung kali diadakan di PKB. Majlis Perasmian 3C Vol. 1/2025 ini telah berlangsung di Dewan Jubli Perak, PKB dengan kehadiran hampir 1000 orang iaitu para jemputan, pempamer, pensyarah dan peserta. Program ini melibatkan pelajar dan pensyarah daripada semua kursus kokurikulum MPU U4, merangkumi sukan, kelab dan unit beruniform. Program ini dilaksanakan secara berpusat bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan memenuhi keperluan silibus MPU U4 serta sasaran KPI JSKK.
 
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah PKB, YBrs. Haji Mohd Daud bin Isa dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Akademik dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PKB. Ketua Jabatan JSKK Ts. Haji Sazami bin Shafi'i A.S.K turut menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian 3C kali ini. Dengan rasminya program ini, maka pelbagai aktiviti dan acara Kokurikulum sama ada sukan, kelab dan unit beruniform akan berlangsung selama seminggu bermula 16 April 2025 dan berakhir pada 24 April 2025. Tempoh ini akan merancakkan aktiviti PdP Kokurikulum terutamanya penganjuran mini kejohanan bagi sukan - sukan dan aktiviti serta kursus unit-unit beruniform.
 
Dalam Majlis ini, turut menampilkan Persembahan Gamelan secara langsung daripada pelajar kursus Kokurikulum Kelab Gamelan semester dua di bawah bimbingan Puan Rohana binti Ismail @ Semail. Turut menyerikan Majlis, Persembahan Wardance bertemakan "Free Palestine" dipersembahkan hasil penyatuan pelajar Unit Beruniform PKB di bawah bimbingan Ketua Kursus Kokurikulum (Unit Beruniform) PKB.
 
Program yang dikendalikan oleh Pengarah Program PgR (Bersekutu) Muzimah Aida binti Md Mustafa (Ketua Kursus Kokurikulum PKB) ini turut memperkukuhkan kolaborasi strategik bersama pelbagai agensi luar yang berperanan dalam menyokong pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta penilaian aktiviti pelajar. Antaranya termasuklah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Rejimen 506 Askar Wataniah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pengakap Negeri Kelantan dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kok Lanas.
 
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Puan Haslina binti Husain, Penceramah Kursus Keselamatan Siber yang juga Pengurus NADI Kok Lanas, selain turut dihadiri oleh para Pengarah dan Ketua-ketua jabatan/agensi yang terlibat sebagai tetamu VIP. Kehadiran mereka menyerlahkan sokongan penuh terhadap usaha PKB dalam memperkasa program pembangunan pelajar secara holistik.
Sebanyak 16 kelab kokurikulum semester dua dari pelbagai kod lama dan baharu turut menyertai pameran 3C yang diadakan sempena program ini. Pameran ini memberi ruang pembelajaran luar kuliah melalui pendekatan interaktif serta membina kemahiran insaniah dan kepimpinan pelajar.
 
Melalui program ini, PKB bukan sahaja berjaya melengkapkan keperluan silibus kokurikulum, malah memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan agensi luar dan menyediakan platform kepada pelajar untuk meneroka potensi diri serta bersedia menghadapi dunia kerjaya sebenar sebagai graduan TVET yang berkualiti.