29 April 2025 - Satu kunjungan hormat telah berlangsung antara Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE), YBrs. Prof Ts. Dr. Rosnah Shamsudin, dan pihak pengurusan tertinggi Politeknik Kota Bharu (PKB). Pertemuan yang berlangsung di Bilik Baiduri PKB ini membuka ruang kerjasama strategik antara MSAE dan PKB, termasuk inisiatif seperti Nota Kerjasama serta penganjuran bersama Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2027.
Kunjungan ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah PKB, YBrs Dr. Haji Mohd Daud bin Isa. Turut hadir Ir. Hj Mohd Zaidi bin Che Mod (Timbalan Pengarah Akademik), En. Abdullah @ Mat Yusof bin Yaacob (Timbalan Pengarah Sokongan Akademik), dan Tn. Hj. Zamzuri bin Arifin (Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal). Pertemuan ini menandakan permulaan kepada hubungan dua hala yang lebih erat, khususnya dalam pembangunan bidang kejuruteraan pertanian dan makanan di institusi TVET negara.

