15 Julai 2025 - Telah berlangsung lawatan akademik oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Kota Bharu (PKB) ke Projek Solar Terapung Danau Tok Uban, Pasir Mas. Lawatan ini diketuai oleh Tuan Haji Zamzuri bin Arifin, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal bersama barisan pensyarah akademik JKM.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan langsung kepada teknologi tenaga boleh baharu, khususnya sistem solar terapung yang semakin mendapat perhatian dalam penyelesaian krisis tenaga dan perubahan iklim.
Para peserta berpeluang melihat secara dekat operasi sistem solar terapung serta mendapat taklimat teknikal daripada pihak pengurusan projek. Inisiatif ini selaras dengan usaha JKM, PKB dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan industri dan pemerkasaan agenda TVET hijau.
Pihak Politeknik Kota Bharu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih atas layanan mesra dan perkongsian ilmu semasa lawatan akademik ini kepada:
1. Tn. Haji Mahadi Bin Mokhtar, Pengurus Kanan Pembangunan Korporat, Kelantan Utilities Mubaraakan Holdings Sdn. Bhd.
2. Ir. Rosaiful Lizam, Pengurus Loji Janakuasa Solar Cypark DTU
3. Seluruh pegawai dan pihak pengurusan Cypark Resources Sdn. Bhd.
Semoga lawatan ini menyemai minat serta membuka ruang kerjasama masa hadapan antara institusi dan industri dalam menjayakan teknologi lestari untuk masa depan negara.
