POLITEKNIK KOTA BHARU, 3 Ogos 2025 – Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Kota Bharu sekali lagi mencipta sejarah dengan penganjuran kursus RobotChamp yang berlangsung di Bilik Seminar Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan (ULPL) hari ini. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini menghimpunkan lebih 11 buah sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd. Jutaan terima kasih kepada pensyarah pakar NIK NOR HISHAMUDDIN BIN NIK MUSTAPHA yang menyebarluas ilmu robotik kepada peserta seramai 33 orang yang terdiri dari 2 orang pelajar dan 1 orang guru pembimbing dari setiap sekolah.
Program ini bertujuan mengasah kemahiran pelajar dalam bidang robotik serta menggalakkan pemikiran kritis, kerjasama berpasukan dan penyelesaian masalah melalui aktiviti berasaskan simulasi sebenar. Bengkel Robot Champ Junior merupakan inisiatif untuk memperkenalkan dunia robotik, pengaturcaraan dan asas kejuruteraan kepada para pelajar secara praktikal dan interaktif. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (hands-on), peserta bukan sahaja mempelajari konsep teknikal, tetapi juga membina keyakinan diri, kemahiran berfikir aras tinggi serta semangat kerjasama.
Program ini telah berjaya dilaksanakan melalui kolaborasi erat bersama ICT Kelantan Gateway dalam usaha memperkasakan pendidikan teknologi dan STEM dalam kalangan pelajar.