Kota Bharu, 7 Ogos 2025 – Seramai 130 pelajar daripada Politeknik Kota Bharu, Politeknik Jeli, Kolej Komuniti Kok Lanas, Kolej Komuniti Jeli dan Kolej Komuniti Pasir Mas telah menerima lesen memandu B2 melalui Program MyLesen anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dengan kerjasama institusi pendidikan TVET.
Program ini merupakan inisiatif strategik dalam memperkasa kebolehpasaran pelajar, terutamanya dalam kalangan golongan B40 dan luar bandar, dengan menyediakan akses kepada lesen memandu motosikal secara sah, tersusun dan berpatutan.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Jazmanie bin Shafawi, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi), JPJ Malaysia. Turut hadir bersama ialah YBrs.Dr. Haji Mohd Daud Bin Isa, Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Tuan Kamal Hisham bin Abu Bakar, Pengarah Pelesenan Pemandu JPJ Malaysia; YBrs. Tuan Mohd Misuari bin Abdullah, Pengarah JPJ Negeri Kelantan, YBrs. Ts. Mohd Hisham bin Makhtar, Pengarah Politeknik Kota Bharu , En Zainal Anuar bin Bakri, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Kota Bharu serta pegawai-pegawai kanan JPJ Negeri Kelantan.
Pelaksanaan Program MyLesen ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar dari aspek kelayakan memandu, malah turut menekankan elemen keselamatan jalan raya, etika pemanduan dan pematuhan undang-undang selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam pembangunan modal insan yang holistik.