KOTA BHARU, 11 Ogos 2025 – Politeknik Kota Bharu hari ini menjadi lokasi persinggahan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Kelantan 2025 yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta agensi rakan strategik.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Seri Surveyor Dr. Haji Md Alwi Haji Che Ahmad, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Encik Muhd Nor Aswadi bin Md Nor, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan merangkap Ketua Konvoi KMJG Negeri Kelantan 2025, barisan pengurusan tertinggi Politeknik Kota Bharu, para pensyarah, urusetia KMJG, peserta konvoi, dif jemputan, pemimpin masyarakat, rakan media, serta warga politeknik.

Pengarah Politeknik Kota Bharu, Ts. Mohd Hisham Bin Makhtar, dalam ucapannya menegaskan bahawa Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan, kebebasan dan maruah bangsa yang diperjuangkan melalui pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu. Beliau turut menyeru masyarakat, khususnya generasi muda, untuk memelihara kemerdekaan melalui perpaduan, integriti dan semangat kebersamaan.
Pada hari yang sama, Program PUSPANITA Merdeka turut diadakan dengan kerjasama Unit Keusahawanan PKB dan JHEP PKB, merangkumi pelbagai aktiviti bermula seawal 7.30 pagi. Antara pengisian termasuk FunWalk Merdeka, senamrobik, pertandingan pulut berhias, pertandingan congkak serta banyak lagi aktiviti lain.
Program KMJG 2025 peringkat negeri Kelantan ini membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh semangat cintakan tanah air menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
