15 Oktober 2025 - Program GREEN 1.0 telah berjaya dianjurkan oleh Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) dengan kerjasama Unit Latihan Industri, Politeknik Kota Bharu. Program ini dijalankan secara hybrid (gabungan atas talian dan bersemuka) bagi memberi pendedahan dan kefahaman kepada pelajar berkaitan aspek keselamatan pekerjaan serta proses pendaftaran Kad Personel Binaan CIDB, iaitu antara keperluan utama dalam industri pembinaan dan teknikal masa kini.
Program ini disertai oleh pelajar-pelajar yang akan menjalani latihan industri pada semester hadapan, bagi memastikan mereka bersedia dari segi pengetahuan keselamatan, peraturan tempat kerja dan kelayakan profesional sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.
Pelaksanaan program ini yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu telah memberi impak positif kepada para peserta dalam memperkukuh kefahaman mereka terhadap tanggungjawab keselamatan dan keperluan perakuan CIDB yang amat penting dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penganjur dan peserta atas komitmen yang tinggi dalam menjayakan Program GREEN 1.0. Semoga usaha sebegini dapat diteruskan bagi melahirkan graduan TVET yang berilmu, kompeten dan memenuhi kehendak industri.
