Kota Bharu, 18 Oktober 2025 – Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Kota Bharu telah menganjurkan Kursus Membaiki Telefon Bimbit di bawah inisiatif Reskilling and Upskilling (RUC) yang berlangsung di Makmal Instrumentasi, JKE. Program sehari ini disertai oleh seramai 16 peserta daripada komuniti setempat yang berminat mempelajari kemahiran asas baik pulih telefon bimbit.
Program ini dianjurkan dengan tujuan memberi pendedahan dan latihan praktikal kepada masyarakat mengenai diagnosis, pembaikan, serta penjagaan peranti mudah alih. Penganjuran ini juga sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi melalui fokus pembelajaran sepanjang hayat (LLL) di bawah Fokus 3 dan Teras Strategik 7 JPPKK, yang menekankan pemerkasaan kemahiran komuniti tempatan.
Kursus ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan teknikal peserta tetapi juga membuka ruang keusahawanan mikro dalam bidang baik pulih telefon bimbit. Peserta berpeluang menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan tambahan dan membantu komuniti menjimatkan kos pembaikan,
Sepanjang kursus, peserta dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman melalui empat modul utama iaitu:
1. Pengenalan kepada Komponen Elektronik Asas,
2. Struktur dan Komponen Telefon Bimbit,
3. Teknik Asas Membuka dan Memasang Telefon, serta
4. Praktikal Diagnostik Masalah Bateri, Skrin dan Port Cas.
Penganjuran ini juga memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi tempatan, di mana peserta boleh memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk menjana pendapatan sampingan. Di samping itu, program ini memperkukuh peranan TVET sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti luar bandar dan berpendapatan rendah.
Secara keseluruhannya, Kursus Membaiki Telefon Bimbit anjuran Politeknik Kota Bharu ini mencerminkan komitmen institusi dalam memperkasa masyarakat melalui pendidikan teknikal serta menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
