27 OKTOBER 2025 :- Program Jelajah Bulan Literasi Kewangan 2025 Bersama Skuad Celik Kewangan merupakan program anjuran Bank Negara Malaysia dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Perdagangan, Politeknik Kota Bharu dengan melibatkan sasaran pelajar seramai 150 orang yang terdiri daripada empat program pengajian iaitu Program Diploma Pengajian Perniagaan (DPM), Program Diploma Pemasaran (DPR), Program Diploma Akauntansi (DAT)/Program Diploma Perakaunan (DAC) dan Program Diploma Insurans (DIN). Program yang berlangsung ini juga dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pihak industri melalui pelbagai aktiviti ilmiah yang akan dilaksanakan sepanjang program ini. Secara amnya, program ini adalah inisiatif pendidikan yang dijalankan secara bersiri atau di lokasi-lokasi berbeza untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai mengenai pengurusan kewangan peribadi. Ianya merupakan satu usaha yang digerakkan oleh pelbagai pihak, termasuk institusi kewangan dan agensi kerajaan, untuk memupuk budaya kewangan yang sihat dalam masyarakat.
Melalui penganjuran ini, pelajar dapat meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang pengajian, membentuk kumpulan pelajar berpotensi tinggi dalam mengatur kewangan diri, meningkatkan motivasi dan keyakinan diri pelajar dalam membentangkan idea di peringkat lebih tinggi, pengukuhan kemahiran insaniah pelajar seperti komunikasi, kerjasama dan keyakinan melalui aktiviti bersama pihak alumni dan industry serta perkongsian ilmu secara terus antara pelajar, pensyarah dan wakil industri yang menyokong pembelajaran holistik secara berterusan.
