2 November 2025 - Politeknik Kota Bharu (PKB) hari ini menjadi tuan rumah kepada Program Literasi Kewangan Peringkat IPTA/IPTS Tahun 2025 anjuran Jabatan Insolvensi Negeri Kelantan bersama Politeknik Kota Bharu, bertempat di Dewan Jubli Perak, PKB.
Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh YBrs. Dr. Haji Mohd Daud bin Isa, Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti. Program ini seterusnya dirasmikan oleh Yang Berbahagia Puan Azwarnida binti Affandi, Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi, Jabatan Insolvensi Malaysia.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Encik Mohamad Hafisol bin Yusoff, Pengarah Bahagian Dasar dan Perundangan, Encik Mohd Izuddin bin Mohd Shukri, Pengarah Insolvensi Negeri Kelantan, serta Ts. Mohd Hisham bin Makhtar, Pengarah Politeknik Kota Bharu, bersama barisan pengurusan tertinggi PKB dan pegawai dari Jabatan Insolvensi Malaysia.
Program yang bertemakan “Bijak Wang, Hidup Sejahtera” ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang pengurusan kewangan yang berhemah serta kesan hutang terhadap kesejahteraan hidup. Sesi forum interaktif bersama panel berpengalaman berjaya menarik perhatian peserta dengan perkongsian ilmu yang bermanfaat.
Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Lembaga Tabung Haji (Kelantan), dan Klinik Kesihatan Kok Lanas atas penyertaan serta sokongan dalam menjayakan program ini.
Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan sambutan hangat daripada pelajar serta warga politeknik. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada semua jawatankuasa yang terlibat atas komitmen dan kerjasama menjayakan program ini.
Program sebegini diharap dapat membentuk generasi celik kewangan dan lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sumber kewangan pada masa hadapan.
