2 November 2025 - Politeknik Kota Bharu (PKB) dengan kerjasama Politeknik Jeli Kelantan (PJK) telah menjayakan Karnival CSR TVET Madani POLYCC 2025, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang menggabungkan kecekapan kemahiran TVET dengan semangat khidmat masyarakat berlangsung di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kok Lanas.
Program ini dirasmikan oleh YBrs. Dr. Mohd Daud bin Isa, Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, bersama Ts. Mohd Hisham bin Makhtar, Pengarah Politeknik Kota Bharu. Turut hadir ialah Ir. Hj. Mohd Zaidi bin Che Mod (Timbalan Pengarah Akademik PKB), En. Abdullah @ Mat Yusof bin Yaacob (Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PKB), dan Pn. Rugayah binti Yusoff (Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PKB).
Pengisian utama program melibatkan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan pendawaian baharu di sekitar PPDK Kok Lanas. Aktiviti ini dikendalikan oleh pelajar semester satu daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, yang diberi peluang melaksanakan kerja lapangan sebenar dengan pemantauan penuh oleh para pensyarah berpengalaman.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar — selaras dengan aspirasi TVET Madani POLYCC untuk melahirkan pelajar yang kompeten, berakhlak dan prihatin terhadap masyarakat.
Syabas dan tahniah kepada semua warga PKB, PJK dan jawatankuasa pelaksana yang terlibat menjayakan program ini.