30 Januari 2024, Politeknik Kota Bharu : Telah berlangsung majlis penutup Minggu Transformasi Siswa Sesi II 2023/2024 Politeknik Kota Bharu di Dewan Jubli Perak, PKB. Minggu transformasi siswa (MTS) pada sesi ini telah berlangsung dengan jayanya bermula dari 28 Januari 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Am (JPA) dan dibantu oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), PKB.
Bertepatan dengan Visi dan Misi POLYCC serta objektif kualiti PKB, 'Siswa Insani Teras Malaysia Madani' telah dipilih sebagai tema Minggu Transformasi Siswa (MTS) pada kali ini. Program ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti serta taklimat dan perkongsian dari pelbagai pihak sebagai persediaan kepada pelajar baharu yang akan mengikuti pembelajaran yang akan bermula pada 4 Februari 2024.
YBrs Gs. Sr Haji Mohd Fikri Bin Ismail, Pengarah Politeknik Kota Bharu mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar kerana berjaya menjadi sebahagian dari warga POLYCC. Tuan pengarah turut menyampaikan amanat dan harapan kepada para pelajar agar memanfaatkan peluang yang ada untuk menjadi pelajar yang berakhlak mulia yang dapat membanggakan ibu bapa, Politeknik dan negara serta menghindari diri daripada masalah gejala sosial.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Haji Mohd Zaidi Bin Che Mod, Timbalan Pengarah Akademik, YBrs. En. Che Anuzi Bin Yusoff, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, En. Mohd Amin Bin Abd Majid, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, En. Roslan Bin Mamat, Ketua Jabatan Pengajian Am, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Unit serta pegawai-pegawai kanan Politeknik Kota Bharu.