28hb Disember 2010 - Majlis persaraan Pn. Maheran bte Ismail telah diadakan bertempat di Jabatan Matematik Sains dan Komputer. Persaraan beliau amat dirasai terutama di Jabatan matematik sains dan komputer. Beliau memilih persaraan pilihan setelah berkhidmat selama 23 tahun bermula tarikh perkhidmatan beliau pada 01hb januari 1987. Jawatan terakhir beliau di Politeknik Kota Bharu adalah sebagai Ketua Jabatan Matematik Sains dan Komputer. Jasa, pengalaman serta budi baik beliau ketika beliau berkhidmat masih segar di dalam ingatan.

Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Disini ada sedikit maklumat yang boleh dikongsi bersama dengan warga pkb berkenaan dengan Pn Maheran. Beliau yang tinggal di taman kenanga, paya bemban, jalan abdul kadir adabi, kota bharu kelantan dan telah berkahwin. Beliau telah dikurniakan anak seramai 7 orang dan ada diantaranya masih menuntut di institusi. Sedari awal beliau dilahirkan pada tahun 1961, beliau mula meningkat dewasa dan mendapatkan pengajian di peringkat awal di Maktab Perguruan Teknik Kuala Lumpur di dalam jurusan perguruan asas. Kemudian beliau meneruskan pengajian ke Universiti of Miami, Coral Gables pada tahun 1979 di dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Industri dan tamat pada tahun 1984. berkat dan kesabaran beliau membuahkan hasil dan kembali semula berkhidmat di Politeknik Kota Bharu.

Beliau telah diijab kabul pada 1982 dengan suami kesayangan beliau iaitu Syed Abdullah bin Syed Zain yang kini bertugas di Syarikat Tenaga Nasional Berhad sebagai Senior Manager. Kini dikhabarkan bertugas di Iran.

Sumbangan yang beliau berikan di politeknik terlalu banyak. Antara sumbangan beliau ialah beliau adalah sebahagian ahli jawatankuasa bertindak audit pematuhan MS ISO9001:2002 dan juga sebagai Ahli jawatankuasa seminar dan pertandingan di dalam menjayakan 4th fira malaysia cup 2010 yang diadakan di PKB. Beliau pernah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang pada tahun 2002 yang pada masa tersebut dibawah kementerian pendidikan malaysia.

Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Kini beliau telah bersara diatas pilihan beliau sendiri. Kehilangan beliau amat dirasai kerana sikap dan ketegasan beliau memimpin jabatan beliau menjadikan jabatan beliau mantap dan tersusun. Pihak kami mengucapkan selamat menjalani alam persaraan beliau dan bagi pihak pengurusan PKB memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan dari pihak kami.