21 Julai 2024  Kg Banggol, Pantai Cahaya Bulan: Politeknik Kota Bharu berjaya hasilkan baja organik berkualiti tinggi melalui hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Unit Penyelidikan Dan Inovasi PKB, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PKB dengan Kerjasama Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dibawah Projek Pemindahan Teknologi Polyorganik Politeknik Kota Bharu (PKB).
Majlis penyerahan pemindahan teknologi ini telah disempurnakan oleh Ybrs Ts. Tuan Haji Kamaludin bin Daud , Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bertempat di Ladang Tembikai, Projek D’Raja Mukim Banggol, Kg Banggol Kota Bharu Kelantan.
 
Beliau berkata melalui pemindahan teknologi ini, JPPKK dapat menjalinkan hubungan kolaborasi dengan industri dan komuniti sebagai rakan pasukan dalam menjayakan penyelidikan , inovasi dan komersialan. Tambahnya lagi, kemahiran dan pemprosesan baja organik semestinya dapat diaplikasikan mengikut keperluan industri, agensi dan komuniti. Ianya juga terbukti memberikan banyak manfaat kepada tanaman, tidak hanya dalam hal meningkatkan hasil, tetapi juga dalam menjaga kesuburan tanah dalam jangka masa panjang. Adalah menjadi harapan agar para petani dapat mengaplikasi teknologi terkini dalam penggunaan baja organik yang tidak hanya meningkatkan produktiviti malah menjaga kelestarian alam sekitar, ujarnya.
 
Sementara itu pengusaha ladang tanaman tembikai, Shaifuddin bin Drahman 62, berkata baja organik yang dihasilkan oleh Politeknik Kota Bharu adalah bermutu tinggi, dapat mencegah pokok tembikai daripada mudah terkena penyakit serta menghasil buah yang berkualiti.
 
Turut hadir bagi memeriahkan majlis penyerahan projek pemindahan teknologi ini ialah Dr. Riam A/P Chau Mai, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK berserta rombongan, Gs Sr. Tuan Haji Mohd Fikri bin Ismail, Pengarah PKB, Ir. Haji Mohd Zaidi bin Che Mod, Timbalan Pengarah(Akademik),  Che Anuzi bin Yusoff ,Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik), Wan Abd Halim Amir Bin Wan Muhammad (Ketua Jabatan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal), Nik Azizi bin Nik Husain, Jawatankuasa Teknikal Projek serta Pegawai daripada Unit CRI dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PKB.