Page 7 - Konvokesyen Ke-35 Politeknik Kota Bharu
P. 7
Kata Aluan
Ketua Pengarah
JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
Segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah s.w.t. di atas limpah kurnia keizinannya Majlis Konvokesyen
Politeknik Kota Bharu Ke-35 dapat dijayakan dengan penuh kesyukuran. Saya kalungkan ucapan syabas dan
tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya mengharungi pelbagai ujian dan halangan dalam usaha untuk
mendapat anugerah diploma pada majlis pengiktirafan ini.
Sistem pembelajaran berkonsepkan teori semata-mata sudah tidak relevan dan tidak mampu memberi nilai
tambah kepada golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan. Sejajar dengan perkembangan dunia, Malaysia
juga mesti bergerak ke arah melahirkan masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global. Justeru, JPPKK
sentiasa memainkan peranannya menggerakkan usaha untuk menjadi penghubung antara Politeknik Malaysia
dan pihak industri bagi mengeratkan kerjasama dan menjalinkan perkongsian pintar.
Tema Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-35 “Graduan TVET Merealisasi Aspirasi Negara” amat
bertepatan dengan keadaan semasa memandangkan graduan TVET merupakan nadi pembangunan industri
negara. Ini kerana, kita tidak mahu lagi hanya bergantung kepada tenaga kerja separa mahir dari luar negara. Kita
mampu melahirkan tenaga kerja yang diperlukan di dalam bidang tersebut. Kita mempunyai pelbagai institusi
untuk memperkasakan TVET seperti politeknik dan kolej komuniti. JPPKK percaya bahawa graduan TVET
mampu mengambil bahagian dalam penstrukturan semula ekonomi negara pada masa hadapan.
Kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dijangka akan sebati dengan kehidupan kita pada masa akan datang.
Oleh itu, pendidikan TVET akan menjadi bidang tumpuan kerana graduan TVET dilihat mampu
menggerakkan Keluarga Malaysia menuju masyarakat 5.0 yang dihasratkan. Politeknik memainkan peranan yang
sangat penting dan efisien untuk merealisasikan usaha murni menjadikan TVET sebagai bidang tumpuan negara.
Malah Politeknik sentiasa bersedia untuk menjadi institusi yang terkedepan bagi menyediakan graduan TVET
dengan bidang kepakaran yang diperlukan oleh industri negara.
Di sini, saya ingin mengucapkan syabas kepada Politeknik Kota Bharu kerana telah berjaya meraih kejayaan
demi kejayaan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Antaranya, anugerah emas dalam International
Innovative Competition 2022 dan anugerah perak dalam Interactive Built-up Rate System in International
Innovative Competition. Ini jelas menunjukkan komitmen padu yang dimiliki oleh semua warga PKB.
Akhir kalam, besarlah harapan saya agar para graduan Politeknik Kota Bharu mampu menabur bakti, menyemai
budi walau dimana sahaja anda berkerjaya. Tunjukkanlah segala potensi diri yang memperlihatkan kesediaan
anda semua dalam mengharungi setiap dugaan yang tidak kurang hebatnya. Sahutlah cabaran pertiwi yang
dahagakan kecemerlangan serta usaha murni anda didunia dan diakhirat.
Indah songket tenunan benang,
Bingkisan manis buat sang juara,
Graduan cemerlang lagi terbilang,
Cekal merealisasi aspirasi negara.
Ts. Zainab binti Ahmad,
Ketua Pengarah