Page 9 - Konvokesyen Ke-35 Politeknik Kota Bharu
P. 9

Kata Aluan




                                            Pengarah


                                        POLITEKNIK KOTA BHARU




        Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

        Alhamdulillah,  marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah  s.w.t.  kerana telah
        menganugerahkan kita rezeki kesihatan dan keupayaan untuk sama-sama menyempurnakan dan meraikan
        Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-35.

        Segunung ucapan tahniah dan berbanyak terima kasih saya  ucapkan kepada  seluruh warga Politeknik Kota
        Bharu yang telah berusaha bersungguh-sungguh dan tidak pernah mengenal perit jerih dalam merealisasikan
        impian para graduan kita dan ibu bapa sepanjang pengajian anak-anak mereka disini.  Sekalung penghargaan
        juga turut ditujukan kepada seluruh warga kerja Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-35 kerana telah
        bertungkus-lumus memastikan kesempurnaan majlis bagi meraikan kejayaan para graduan, para pendidik serta
        pengorbanan ibu bapa yang telah berjaya membentuk insan intelek masa hadapan yang murni sahsiahnya.

        Tema Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu kali ini adalah “Graduan TVET Merealisasi Aspirasi Negara”.
        Bidang TVET menyediakan pembelajaran pendidikan dan latihan kemahiran yang merupakan satu suntikan ke
        arah  menjadi produk komersial.  Pada  masa kini, TVET  dilihat sebagai satu pendekatan pendidikan yang
        mengiktiraf seseorang  supaya  mempunyai kepelbagaian kecerdasan  dan kemahiran  psikomotor. Graduan
        TVET dilihat mempunyai kekuatan kemahiran vokasional dan teknikal yang mampu menjana keperluan
        industri masa kini serta mempunyai masa depan yang cerah. Bidang TVET dilihat secara keseluruhannya cukup
        mencabar di mana ianya memerlukan seseorang itu mempunyai daya ketahanan mental yang kuat. Oleh itu,
        dalam memperkasakan pendidikan tinggi TVET, pendekatan strategi utama telah dibangunkan  menerusi
        pembangunan teknologi, kompetensi bakat, peningkatan visibiliti, pemerkasaan pembelajaran serta pengajaran
        yang merangsang minda ke arah teknologi baharu. Syabas saya ucapkan kepada semua pendidik yang tidak jemu
        menggembleng tenaga dalam bersama-sama mendidik anak bangsa.

        Konvokesyen ini adalah merupakan titik permulaan bagi para graduan mengorak langkah ke satu tahap yang
        lebih tinggi dan memahami erti dan cara kehidupan berkerjaya.  Bagi mereka yang sudah atau akan memasuki
        alam pekerjaan, anda perlulah menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi memenuhi keperluan majikan.
        Gunakanlah masa yang ada bagi mengasah dan menambah kemahiran serta pengetahuan agar dapat menjadi
        warga kerja yang efisien, kreatif dan inovatif.

        Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah kepada para graduan sekalian.  Semoga
        Allah sentiasa memberkati dan merahmati anda semua dalam setiap bidang yang diceburi pada masa hadapan.
        Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

        Haji Rosli bin Idris
        Pengarah
        Politeknik Kota Bharu
   4   5   6   7   8   9   10   11   12   13   14