Page 2 - buku konvo 2019 latest3
P. 2
Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke 32
Doa Konvokesyen
Ya Allah…...
Di hari yang indah ini, kami menadah tangan kehambaan memohon kepadaMu,
ampunilah dosa-dosa kami, kedua ibu bapa kami juga muslimin dan muslimat, mukminin dan
mukminat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Bersempena dengan konvokesyen Politeknik Kota Bharu bagi kali yang Ke 32 ini, kami
merafakkan kesyukuran di atas keizinanMu sehingga majlis ini dapat direalisasikan. Dengan
kerjasama dan tenaga yang dikerah, limpahkan kepada kami nikmat dan barakah, rezeki yang
mencurah-curah dan keluarga yang bahagia di samping anak-anak yang soleh dan solehah.
Ya Allah Ya Karim….
Jutaan kesyukuran kami panjatkan kepadaMu atas segala rahmat dan izzah, yang telah
mengubah segala usaha bertukar ceria, memakbulkan segala doa yang sering dipinta. Kami
mengharapkan agar graduan-graduan yang dibekalkan dengan ketinggian modal insan,
keunggulan ilmu pengetahuan mampu untuk melestari dan menjayakan misi negara ke tahap
yang di tetapkan.
Ya Allah Ya Aziz..
Telah tercipta kemuncak segala pencapaian, telah terbalas segala pengorbanan dan telah
terlaksana segala pengharapan graduan-graduan yang diraikan. Kami merayu agar insan
pilihan yang di banggakan ini mampu berkarier dan berkerjaya, menjawat pelbagai jawatan
di dalam sektor industri mahupun usahawan sendiri dengan penuh dedikasi.
Ya Allah Ya Jabbar..
Di sini berkumpulnya insan terpilih dan dimuliakan. Kami pohon agar warga politeknik ini
dikurniakan lidah yang fasih lagi petah agar tersusun kata-kata indah penuh bermadah,
dibekalkan akal yang panjang dan hati yang terang agar mampu menjana idea serta
pandangan yang bernas, disulam dan dianyam dengan akhlak yang tinggi dan terpuji dalam
melahirkan sahsiah diri dan peribadi yang berkualiti. Pelajar berbakat dan berketerampilan
dicungkil dan Politeknik Kota Bharu kekal sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan.
Ya Allah Ya Gahaffar…
Kami sandarkan hidup dan mati hanya padaMu yang maha kuasa, bisikan doa kami panjatkan
bersama titisan air mata. Tampunglah segala kekurangan, iringi usaha yang diatur dengan
keredhaan dan keberkatan. Pengampunan dipinta atas segala keuzuran dan ketelanjuran…
Aminn Ya Rabbal’ alamin
1