Page 7 - KONVOKESYEN PKB 37 & KK Kelantan
P. 7
Sekapur Sirih
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ’aalamin, segala puji dan syukur kita rafakkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah rahmat dan rahimNya kita diberi kesempatan untuk bersama-sama pada hari ini bagi meraikan
kejayaan para graduan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke 37 & Kolej Komuniti
Kelantan 2024 yang bertemakan ‘Graduan TVET Aspirasi Generasi Madani’. Salawat dan salam ke
atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW penghulu sekalian utusanNya, Rasul akhir zaman dan
pencetus ilham Madani.
Sistem pendidikan politeknik telah diperkenalkan sejak tahun 1969 dan seterusnya kian berkembang
dengan lebih banyak politeknik ditubuhkan serta penambahan program pengajian untuk melahirkan
pekerja separa profesional dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan pada peringkat
diploma dan ke atas. Perkembangan pesat yang berlaku dalam dunia pendidikan serta latihan teknikal
dan vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET ini membolehkan tenaga kerja yang kompeten dapat
dihasilkan bagi memenuhi permintaan industri, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selaras
dengan tuntutan globalisasi yang berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga
kerja global.
Dalam usaha untuk merealisasikan impian untuk menjadikan politeknik dan kolej komuniti sebagai
peneraju TVET negara, PolyCC komited dalam merancang pelbagai kemudahan dengan menyediakan
akses mesra pengguna kepada program TVET yang berkualiti, membangunkan kurikulum yang
berdaya saing dengan perkembangan industri semasa, membina reputasi tinggi yang sealiran dengan
dunia industri negara dan seterusnya melahirkan modal insan yang mempunyai pelbagai skil, kompeten
dan cukup berketrampilan. Bahkan buktinya dapat dilihat hari ini, dalam dewan ini, sejumlah graduan
lulusan program TVET mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik
berbanding lulusan program akademik semata-mata. Kelebihan ini sudah pasti berpotensi untuk
membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan
kepada lulusan TVET.
Jutaan tahniah untuk semua ibu bapa yang telah berkorban masa, harta dan kasih sayang demi
memastikan anak-anak mampu untuk meraih kejayaan selepas bertungkus lumus menghadapi
pelbagai ujian dan peperiksaan demi menggapai impian bergelar seorang graduan. Ucapan terima
kasih juga saya tujukan kepada semua rakan industri yang telah banyak menyumbangkan idea,
menyediakan peluang kepada para pelajar, menyuarakan komentar membina dan sebagainya sebagai
sokongan kepada sistem politeknik yang sedia ada.
Sekalung penghargaan jua untuk para pensyarah serta staf politeknik dan kolej komuniti yang telah
mencurahkan ilmu dan pengalaman masing-masing demi memastikan anak-anak didik berjaya dalam
pelajaran dan mampu untuk mengadaptasi ilmu mereka dalam era pekerjaan sejurus tamat pengajian.
Dan yang paling diraikan, sekalung tahniah kepada para graduan Majlis Konvokesyen Politeknik Kota
Bharu ke 37 & Kolej Komuniti Kelantan 2024. Alhamdulilah, segala usaha dan pengorbanan anda
semua telah berjaya menunjukkan hasil pada hari ini. Jelas sekali kebenaran pepatah Melayu bahawa
‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.
Syabas sekali lagi saya ucapkan kepada semua graduan. Semoga kejayaan demi kejayaan datang
mengetuk pintu rezeki anda semua. Insya-Allah. Sekian, terima kasih.
Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke 37 & Kolej Komuniti Kelantan 2024
GRADUAN TVET ASPIRASI GENERASI MADANI