Page 9 - KONVOKESYEN PKB 37 & KK Kelantan
P. 9
Kata Aluan
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah
menganugerahkan kita rezeki kesihatan dan keupayaan untuk sama-sama menyempurnakan dan
meraikan Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke 37 & Kolej Komuniti Kelantan 2024.
Segunung ucapan tahniah dan berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga Politeknik
Kota Bharu yang telah berusaha bersungguh-sungguh dan tidak pernah mengenal perit jerih dalam
merealisasikan impian para graduan kita dan ibu bapa sepanjang pengajian anak-anak mereka disini.
Sekalung penghargaan juga turut ditujukan kepada seluruh warga kerja Majlis Konvokesyen Politeknik
Kota Bharu ke 37 & Kolej Komuniti Kelantan 2024 kerana telah bertungkus-lumus memastikan
kesempurnaan majlis bagi meraikan kejayaan para graduan, para pendidik serta pengorbanan ibu bapa
yang telah berjaya membentuk insan intelek masa hadapan yang murni sahsiahnya.
Tema Majlis Konvokesyen pada kali ini adalah "Graduan TVET Aspirasi Generasi Madani".
Pertumbuhan di dalam ekonomi dan industri Malaysia adalah bergantung kepada keupayaan kita untuk
mempertahankan kadar produktiviti yang tinggi dan daya saing di arena antarabangsa. Daya saing dan
produktiviti industri pula bergantung kepada adanya tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan
bermotivasi tinggi. Malaysia pada masa kini berada pada landasan pemerkasaan TVET yang
mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Graduan TVET
mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu
berdasarkan piawaian pekerjaan yang diiktiraf yang menekankan komponen praktikal, kemahiran
psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri. Syabas saya ucapkan kepada semua pendidik
yang tidak jemu menggembleng tenaga dalam bersama-sama mendidik anak bangsa sebagai aset
utama dalam pembentukan generasi Madani.
Konvokesyen ini adalah merupakan titik permulaan bagi para graduan mengorak langkah ke satu tahap
yang lebih tinggi dan memahami erti dan cara kehidupan berkerjaya. Bagi mereka yang sudah atau
akan memasuki alam pekerjaan, anda perlulah menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi
memenuhi keperluan majikan. Gunakanlah masa yang ada bagi mengasah dan menambah kemahiran
serta pengetahuan agar dapat menjadi warga kerja yang efisien, kreatif dan inovatif.
Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah kepada para graduan
sekalian. Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati anda semua dalam setiap bidang yang
diceburi pada masa hadapan. Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh. Terima kasih.
PPjKR (BERSEKUTU) Gs. Sr Haji Mohd Fikri bin Ismail
Pengarah
Politeknik Kota Bharu.
Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke 37 & Kolej Komuniti Kelantan 2024
GRADUAN TVET ASPIRASI GENERASI MADANI