Program Mari Membaca Bersama untuk 10 Minit / Lets Read Together For Ten Minutes telah diadakan pada 24 April 2018 (Selasa) mulai jam 11.00 pagi sehingga 11.10 pagi bertempat di Perpustakaan Politeknik Kota Bharu. Program ini dianjurkan sempena Hari Buku Sedunia yang merupakan acara tahunan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Se-Malaysia (MPAM), Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Program ini telah melibatkan lebih kurang 33 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan PKB. Peserta juga diberi peluang untuk membuat ulasan hasil pembacaan bahan yang dibaca untuk perkongsian maklumat. Di samping itu, para peserta yang hadir turut didedahkan tentang perkhidmatan pangkalan data yang terdapat melalui portal U-pustaka.

Program Mari Membaca Bersama untuk 10 minit ini diadakan adalah sebagai salah satu wadah dan usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga institusi bagi tujuan melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan.