Dr. HAJI MOHD DAUD BIN ISA
PENGARAH 
POLITEKNIK KOTA BHARU, KELANTAN

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ....

Selamat datang ke Portal Rasmi Politeknik Kota Bharu. Tahniah dan terima kasih kepada Unit Sistem Teknologi Maklumat, USTM Politeknik Kota Bharu khasnya kepada kumpulan webmaster kerana telah berjaya menghasilkan portal rasmi ini. Portal ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan politeknik ini di samping menyebarkan maklumat berkaitan program pengajian yang ditawarkan serta fasiliti dan kemudahan yang ada.

Politeknik Kota Bharu (PKB) ditubuhkan pada tahun 1985 dan merupakan politeknik ke-4 daripada rangkaian Politeknik Malaysia. Pada awal penubuhannya, PKB beroperasi di SMT Bunut Susu Pasir Mas dan berpindah ke kampus tetap apabila kampus dengan keluasan 109 ekar di Pangkal Kalong, Kok Lanas Kota Bharu siap sepenuhnya pada tahun 1988. Kami menawarkan 13 program pengajian sepenuh masa di peringkat Diploma dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan. Tempoh pengajian adalah 3 tahun (6 semester) dan pelajar diwajibkan menjalani latihan industri pada semester akhir. Dengan ini, pelajar mendapat pendedahan tentang persekitaran kerja sebenar disamping meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan mereka bersedia untuk memasuki alam pekerjaan. Kami juga melaksanakan program di bawah Time Sector Privatisation (TSP) iaitu Kursus Jangka Pendek dan Kursus Terlanggan. Semua program pengajian yang ditawarkan telah mendapat pengiktirafan MQA dan badan-badan profesional.

VISI kami adalah menjadi peneraju TVET yang dipacu industri menjelang 2025 dan MISI kami adalah untuk memperkasa TVET dalam melahirkan graduan holistic, berciri keusahawanan dan inovatif bagi memenuhi kehendak industri.

Bagi mencapai Visi dan Misi tersebut, PKB sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini melalui jalinan kerjasama yang erat dengan pihak industri. Kami juga aktif melaksanakan aktiviti-aktiviti  pembangunan sahsiah dan jati diri pelajar melalui Jabatan Sukan, Kebudayaan dan Kokurikulum serta membudayakan keusahawanan dalam semua aktiviti. Dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi serta diadun dengan sikap yang betul, kami berharap graduan kami dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan bukan sahaja bagi diri mereka tetapi juga untuk rakan.rakan.

Saya amat mengalu-alukan sebarang maklumbalas, pandangan serta cadangan penambahbaikan untuk portal ini dan Politeknik Kota Bharu. Selamat melayari portal dan media sosial rasmi ini. Semoga maklumat yang diperolehi dapat membantu semua pihak.