*Dari hati seorang ibu.....*

Saya ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian semua calon yang memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada hari ini.

Walaupun pandemik Covid-19 memberi kesan kepada cara pembelajaran, namun saya yakin semangat untuk berjaya dan dedikasi para guru dalam menyampaikan ilmu telah menyuntik semangat anda semua untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini.

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak. Sesungguhnya dorongan motivasi serta doa ahli keluarga memainkan peranan penting bagi melonjakkan prestasi para pelajar. Ibu bapa yang dikasihi sekalian, selepas keputusan SPM diumumkan pada hari ini, kecemerlangan dan kejayaan anak akan bermula dengan mereka melangkah ke pendidikan tertiari. Minat, kecenderungan, bakat dan kebolehan anak-anak adalah berbeza.

Ibu bapa harus menerima perbezaan ini dan meraikan keistimewaan setiap anak. Berikanlah mereka peluang untuk memilih bidang yang mereka minati berdasarkan kepada permintaan serta peluang pekerjaan pada masa akan datang.

Pada mereka yang kurang berjaya, janganlah berputus asa dengan keputusan hari ini. InsyaAllah berbekalkan semangat dan usaha tanpa jemu, kejayaan pasti anda kecapi pada satu hari nanti. Bagi mereka yang memperoleh keputusan cemerlang pula, teruskan berusaha dalam memperoleh kejayaan demi kejayaan agar dapat menabur bakti kepada negara, bangsa dan agama.

Ikhlas dari saya,

*Zainab Ahmad* *

10 Jun 2021*