23 Jun 2015 - Empat politeknik mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencapai tahap tertinggi dalam sistem akreditasi Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC) baru-baru ini.

Jabatan Pendidikan Politeknik dalam satu kenyataan berkata, antara politeknik yang menerima penganugerahan emas tersebut adalah Politeknik Kota Bharu (PKB), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Politeknik Seberang Perai.

Katanya, sebelum ini tiga institusi pendidikan di bawah jabatan tersebut turut menerima peng­anugerahan sama iaitu Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan.

“APACC yang merupakan badan akreditasi di bawah Colombo Plan Staff College For Technichian Education (CPSC) telah menganugerahkan tahap emas bagi akreditasi kepada empat buah politeknik di Malaysia.

“Menerusi akreditasi tersebut, kemahiran yang dimiliki oleh gra­duan politeknik akan diiktiraf oleh negara-negara di rantau Asia Pasifik,” katanya di sini hari ini.

Majlis penganugerahan tersebut telah diadakan di Marco Polo Hotel Ortigas, Manila yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Mohd. Zamri Mohd. Kassim.

Menurut kenyataan itu, peng­anugerahan tertinggi itu akan memudahkan pergerakan graduan politeknik Malaysia dalam mempraktikkan kemahiran dan pe­ngetahuan yang ada di negara rantau Asia Pasifik.

“Pencapaian itu juga bertepatan dengan perancangan politeknik bagi mencapai lonjakan keempat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu melahirkan graduan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berkualiti,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/4-politeknik-terima-anugerah-emas-apacc-1.106341#sthash.hRJTJdD5.dpuf