12 Mei 2016, Kok Lanas – Kejohanan PolyCup 2016,  telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada hari ini. Politeknik Sabah telah berjaya merangkul kejuaraan bagi kejohanan pada edisi ke-5 ini setelah menewaskan Politeknik Melaka pada saingan pentas akhir. Politeknik Sabah menewaskan Politeknik Melaka dengan jaringan 2-0. Bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pula adalah antara Politeknik Kelantan dengan Politeknik Sarawak di mana kejayaan telah menjadi milik pasukan Cik Siti Wan Kembang dengan jaringan 1-0. 

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Kota Bharu, Tuan Haji Noor Azahan bin Othman. Johan dan naib johan telah menerima piala iringan, wang tunai dan medal manakala tempat ketiga dan keempat telah menerima wang tunai dan medal. Turut hadir pada majlis ini adalah Encik Mohd Sahran @ Awang bin Mohidin, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Politeknik Kota Kinabalu, yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir serta memberi sokongan kepada semua pemain terutamanya pemain pasukan Politeknik Sabah. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Politeknik Sabah serta semua pemain yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada semua jawatankuasa kejohanan yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan kelancaran perjalanan program ini.

Keputusan penuh pertandingan ( Klik Disini)