08 Mac 2024 - Bersempena dengan salah satu kandungan silibus RELASIS PKB yang menekankan aspek kesukarelawan, seramai 41 orang pelajar dan 3 orang Pegawai Bersekutu Briged RELA SISWA SISWI Politeknik Kota Bharu (RELASIS PKB) di bawah Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK PKB) telah berjaya melunaskan Khidmat Bakti RELA (KBR) di Maahad Tahfiz Assyabab, Bukit Bakar, Kelantan. Penghuni Maahad tersebut terdiri daripada 15 orang pelajar asnaf dan tahfiz yang berumur antara 12 hingga 17 tahun. Briged RELASIS PKB telah menyumbang bakti dari aspek sumbang saran motivasi kepada para penghuni Maahad tersebut selain turut melaksanakan aktiviti gotong-royong membersih surau, sekitar asrama dan Maahad serta membaik pulih kerosakan kecil peralatan. Selain itu, para pelajar PKB turut berkongsi pengetahuan dan kemahiran insaniah melalui ramah mesra kepada anak-anak penghuni di situ. Program ini turut menyalurkan sumbangan dan infaq daripada warga RELASIS PKB kepada penghuni seperti sumbangan kecil barang keperluan harian serta barangan dapur bagi kegunaan dan makan minum harian penghuni . Program ini telah mendapat sokongan daripada Politeknik Kota Bharu terutamanya Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan PKB. Sekalung tahniah buat pensyarah dan pelajar yang terlibat selaku jawatankuasa program dan juga warga PKB yang telah memberi sumbangan secara langsung dan tidak langsung.