26 September 2023, Tumpat : Seramai 230 peserta telah turut serta dalam Program Jejak Warisan iaitu salah satu daripada 3 aktiviti yang dijalankan bersempena dengan Festival Kebudayaan dan Warisan Ke-11 (11th FESKEW). Program telah diadakan bermula di Laman Warisan Kg. Laut, Tumpat dan juga di sekitar bandar Kota Bharu, Kelantan.
Melalui program ini semua peserta dan pegawai pengiring akan melawat dan melihat tempat bersejarah dan warisan budaya sekitar negeri Kelantan. Selain itu diadakan juga aktiviti CSR gotong – royong membersihkan Masjid Kg. Laut, aktiviti mencanting batik dan juga menelusuri pengalaman masyarakat dahulu di Tumpat menaiki bot tempatan ke bandar Kota Bharu.
Festival Kebudayaan dan Warisan ini adalah anjuran Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar , Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti(JPPKK) dan tahun ini dikelolakan Politeknik Kota Bharu sebagai tuan rumah.
Festival ini berperanan penting untuk menggarap secara malar dalam bidang kesenian kebudayaan menerusi elemen improvisasi gerak dan irama serta menelusuri elemen mendidik dan menghibur secara langsung. Tema pada tahun ini ialah Seni dan Budaya Menelusuri Improvisasi Gerak dan Irama.