KOK LANAS – Unit Sukan, Kokurikulum & Kebudayaan (USKK) Politeknik Kota Bharu telah menganjurkan Kejohanan Sukan Staf PKB pada 7 Januari 2016, bertempat di Politeknik Kota Bharu. Pada penganjuran kali pertama bagi tahun 2016 ini, sukan yang terlibat adalah acara sukan dalaman (indoor) iaitu karom untuk staf lelaki dan congkak untuk staf wanita. 

Penyertaan staf dari setiap jabatan dan unit adalah amat menggalakkan bagi kedua-dua acara tersebut. Bagi acara karom, lokasi pertandingan adalah di Pejabat Unit Sukan manakala bagi acara congkak pula telah diadakan di bilik gymnasium. Pertandingan pada pagi Khamis itu telah bermula pada jam 9 pagi sehingga tengahari. 

Objektif utama penganjuran kejohanan sukan ini adalah untuk membudayakan budaya bersukan di kalangan staf PKB dan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. Selain itu, melalui penganjuran aktiviti atau program sebegini, hubungan ukhuwah dan silaturrahim di kalangan staf PKB dapat dieratkan. Staf PKB yang menyertai aktiviti atau program sukan yang dianjurkan ini juga dapat merehatkan diri dan minda daripada bebanan kerja seharian. 

Jaguh PKB bagi acara karom adalah Nur Faidz Azri bin Makhtar dari JKA setelah berjaya menewaskan Mohd Zaidi bin Mahmud dari JKM pada saingan peringkat akhir kejohanan karom. Manakala bagi tempat ketiga pula disandang oleh Suhairi bin Suaibon dan Noor Hanan bin Senin, kedua-duanya dari JKM. Bagi kejohanan congkak pula, Marhaniza binti Ibrahim dari JMSK telah berjaya menumpaskan semua saingan untuk merebut gelaran juara manakala Siti Alizah binti Asmuni dari JKA pula berjaya meraih tempat kedua. Tempat ketiga disandang oleh Noormey binti Mohd Nor (Unit Perpustakaan), tempat keempat Nur Hanani binti Daud (JKA) dan tempat kelima Nik Nur Fathiha binti Nik Din (JPA).