16 Oktober 2024 : Pengarah Politeknik Kota Bharu Dr Hj Mohd Daud Isa, menzahirkan ucapan tahniah buat Nur Faqina Dullia Adrea binti Zaratul Ihram atas kejayaan menjuarai Kejohanan Tinju Piala Malaysia bertempat di Lawin, Perak baru-baru ini. Lebih cemerlang lagi Faqina 18 tahun pelajar semester satu Diploma Pemasaran juga menjadi peninju terbaik elit wanita kejohanan tersebut.
 
Melengkapkan lagi koleksi kejayaan beliau ialah apabila muncul sebagai naib juara dengan mendapat pingat Perak dalam acara tinju bagi kategori 48 kilogram SUKMA 2024 yang berlangsung di Sarawak September yang lalu.
 
Anak sulung daripada lima beradik Ini mendapat inspirasi daripada ayahnya untuk menjadi peninju apabila sering dibawa untuk menyaksikan tomoi. Beliau yang berasal dari Kota Bharu bernaung di bawah Persatuan Tinju Negeri Kelantan.  Kini Faqina merupakan aset penting buat Politeknik Kota Bharu kerana telah mengharumkan nama PKB di pentas kebangsaan dalam arena sukan. Pihak pengurusan PKB mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan ini.
 
Turut hadir menyaksikan majlis kalungan pingat ini ialah Timbalan Pengarah (Akademik) Ir. Tuan Haji Mohd Zaidi bin Che Mood, Timbalan Pengarah (Sokongan Akedemik) En. Che Anuzi bin Yusoff, Ketua Jabatan Perdagangan, Puan Juli Suzlin Mohd Jalaludin dan Ketua Jabatan Sukan, Ko- Kurikulum & Kebudayaan Tuan Haji Sazami bin Shafi'i.