19 Februari 2025 - Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu. Program Prihatin Ihsan Madani: Cakna Muafakat PolyCC Kelantan 2025 telah berlangsung dengan penuh makna, menzahirkan semangat keprihatinan dan kecaknaan dalam kalangan warga Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC).
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Hj. Kamaludin bin Daud, Timbalan Ketua Pengarah (Governen) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi. Program ini turut merangkumi taklimat mengenai Pertubuhan Muafakat serta penyampaian Tabung Ihsan Bencana Muafakat kepada Pengarah PolyCC Zon Kelantan.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini, sumbangan khas juga telah diberikan kepada staf dan pelajar yang terjejas.
Turut hadir dalam program ini ialah Dr. Haji Mohd Daud bin Isa, Pengarah Politeknik Kota Bharu serta Pengarah-Pengarah PolyCC Zon Kelantan.
Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan nilai ihsan dan kebersamaan, tetapi juga menjadi bukti bahawa PolyCC sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan warganya. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan.