12 Mac 2025 - Majlis Watikah Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Kota Bharu 2025 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Al-Ghazali, Politeknik Kota Bharu. Majlis ini diadakan untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada 33 orang ahli jawatankuasa perwakilan pelajar dan 22 orang pengerusi kelab, persatuan dan badan beruniform yang telah dipilih untuk memegang jawatan kepimpinan bagi sesi 2025.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Politeknik Kota Bharu, YBrs. Dr. Hj. Mohd Daud Bin Isa yang turut menyampaikan amanat kepada para perwakilan pelajar mengenai pentingnya tanggungjawab, integriti dan komitmen dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin pelajar. Dalam majlis ini, watikah rasmi telah diserahkan kepada setiap perwakilan yang bertugas bagi memulakan tanggungjawab mereka.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Unit dan Penasihat-Penasihat serta para pelajar yang memberikan sokongan penuh kepada para perwakilan. Dengan pelantikan ini, diharapkan para pemimpin pelajar dapat menjalankan tugas mereka dengan cemerlang dan memberi sumbangan positif kepada pembangunan komuniti pelajar di institusi ini.