23 APRIL 2025, POLITEKNIK KOTA BHARU - Pertandingan Research-Innovation Competition & Exhibition (RiCE) 2025 Sesi II: 2024/2025 anjuran Jabatan Perdagangan, Politeknik Kota Bharu (PKB) telah berlangsung dengan jayanya pada 23 April 2025 bertempat di Dewan Jubli Perak, PKB. Program ini telah mendapat penyertaan aktif serta komitmen tinggi daripada pelajar Semester 5, menjadikan acara ini sebagai salah satu platform berimpak tinggi bagi mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam bidang inovasi dan penulisan ilmiah.
RiCE 2025 Sesi II ini bertujuan untuk mengasah kemahiran pelajar dalam mencipta produk inovatif yang relevan dengan bidang pengkhususan masing-masing serta memupuk budaya penulisan akademik yang berkualiti. Program ini juga memberi ruang kepada pelajar untuk mempraktikkan ilmu teori secara aplikasi dalam menyelesaikan masalah sebenar industri, sekali gus menghasilkan karya ilmiah yang bernilai tinggi.
Pertandingan ini telah menerima penglibatan pelbagai hasil inovasi yang kreatif dan penulisan ilmiah yang menepati kriteria akademik, membuktikan kemampuan pelajar PKB untuk bersaing secara kompetitif di peringkat lebih tinggi. Kehadiran panel penilai profesional serta sokongan padu daripada barisan pensyarah turut menyemarakkan lagi semangat peserta.
Politeknik Kota Bharu akan terus komited dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga inovatif, kreatif dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan.