23–25 April 2025 : Unit Keusahawanan Politeknik Kota Bharu

Lawatan Penandaarasan POLYCC Zon Kelantan Terengganu (EVV 2025) telah dilaksanakan dengan jayanya pada 23 hingga 25 April 2025. Program ini telah disertai oleh wakil-wakil Politeknik daripada Zon Kelantan Terengganu bagi tujuan memperkasa pengetahuan, jaringan dan amalan terbaik dalam bidang keusahawanan di peringkat Politeknik.

Politeknik Kota Bharu (PKB) telah menghantar seramai 3 orang pelajar terpilih sebagai peserta program bersama pegawai pengiringnya Pn. Nik Rozina @ Nik Azyyati Binti Nik Jaafar, selaku Ketua Unit Keusahawanan PKB.

Antara objektif utama lawatan ini adalah memberikan pendedahan sebenar tentang pengurusan keusahawanan industri, memahami inovasi dan strategi pemasaran produk syarikat bertaraf antarabangsa seperti Mamee dan membina jaringan strategik antara pelajar dan tenaga pengajar politeknik Zon Kelantan Terengganu.

Dalam masa yang sama adalah untuk menambah baik inisiatif keusahawanan pelajar di politeknik melalui idea-idea baru dan kreatif serta memperlihatkan pelbagai inovasi keusahawanan pelajar dan pengurusan program keusahawanan yang tersusun dan berimpak tinggi.

Lawatan ke Mamee Mega Factory dan Mamee Jonker House telah membuka ruang kepada peserta untuk melihat sendiri operasi pengeluaran produk makanan berteknologi tinggi serta strategi penjenamaan global.

Semoga pengalaman yang diperoleh menerusi lawatan ini akan menjadi inspirasi dan pemangkin semangat kepada semua peserta untuk terus memperkasa budaya keusahawanan di peringkat politeknik dan seterusnya di persada nasional.