2 – 4 Jun 2025 : Politeknik Port Dickson (PPD) - Pada 2 - 4 Jun 2025 yang lalu, Kelanasiswa Malaysia Politeknik Malaysia Kota Bharu dengan usahasama Kelanasiswa Malaysia Politeknik Jeli telah menyertai program Malaysian Polytechnic Rovers Challenge (MalPRO) & Malaysian Polytechnic Girl Guides Clovers Jamboree (MalPCJAM) 2025 anjuran Politeknik Port Dickson. Program berkonsepkan “glamping” ini turut memperkenalkan lencana YUNGA Badge Challenge: "The Ocean".
Seramai 5 ahli Kelanasiswa Malaysia Politeknik Kota Bharu dan 3 ahli Kelanasiswa Malaysia Politeknik Jeli telah bersama membentuk sebuah kontingen bagi menyertai program ini dengan diiringi oleh Puan Mariati Binti Ahmad, Pesuruhjaya Daerah Kelanasiswa Malaysia PKB Dan Encik Ahmad Muzri Bin Mohammad Najib, Pesuruhjaya Daerah Kelanasiswa Malaysia PJK.
Kelanasiswa Malaysia Politeknik Kota Bharu dan Kelanasiswa Malaysia Politeknik Jeli telah diumumkan sebagai pemenang Kategori Terbaik, "Ocean In Motion" sebagai salah satu aktiviti dipertandingkan.
Program yang disempurnakan oleh YBrs. Dr. Haji Mohd Daud Bin Isa, Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti ini buat julung kalinya berjaya menghimpunkan 11 kumpulan Kelanasiswa Malaysia (Rovers) Politeknik serta 7 kumpulan Pandu Puteri (Clovers) Politeknik dari seluruh negara.
Antara aktiviti utama sepanjang program berlangsung pada 2 Jun 2025 termasuklah pendaftaran dan penyediaan tapak glamping, taklimat bencana tsunami dan ceramah kesedaran, tugasan wawancara video bersama komuniti di Pantai Teluk Kemang, serta Role Play Debate: Aqua Arena & Model/Diorama Isu Lautan.
Pada 3 Jun 2025 pula, para peserta telah menyertai lawatan ke Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, aktiviti CSR pembersihan pantai, pertandingan Coastal Chef: Survival Cooking, dan Malam Kebudayaan (Silang Budaya).
Manakala pada 4 Jun 2025, peserta menyertai Kursus Pengurusan Risiko & Simulasi Bencana bersama JBPM Negeri Sembilan sebelum majlis penutup diadakan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur, barisan urusetia, Pemimpin Pengiring dan semua peserta, atas komitmen dan dedikasi yang diberikan sepanjang program ini. Semoga kenangan dan ilmu yang dikutip sepanjang tiga hari yang bermakna itu kekal terpahat dalam ingatan dan terus menjadi sumber inspirasi, buat warga Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Jeli untuk terus melangkah lebih jauh.