18 Januari 2026 - Politeknik Kota Bharu (PKB) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan hormat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Kelantan ke kampus PKB dalam usaha memperkukuh persediaan pelaksanaan Pilihan Raya Kampus PKB 2026.
Lawatan ini telah memberi pendedahan dan perkongsian amat bermakna berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya, pengurusan pengundian, kaedah pengiraan undi serta pengendalian aduan selaras dengan amalan pilihan raya sebenar di peringkat nasional. Perkongsian kepakaran ini menjadi panduan penting kepada Sekretariat Pilihan Raya Kampus PKB dalam memastikan proses pilihan raya kampus dilaksanakan secara sistematik, telus dan berintegriti.
Sesi perbincangan dua hala yang berlangsung turut membuka ruang perbincangan konstruktif berkaitan cabaran dan penambahbaikan dalam pengurusan pilihan raya di institusi pendidikan. Komitmen SPR Kelantan dalam menyokong dan bekerjasama dengan PKB amat dihargai demi melahirkan mahasiswa yang celik demokrasi serta berdaya kepimpinan.
Kunjungan ini diketuai oleh En. Mohd Fadly Mohd Fauzi, Timbalan Pengarah SPR Kelantan, bersama barisan pegawai SPR Kelantan, manakala pihak PKB diketuai oleh En. Zainal Anuar bin Bakri, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PKB.
Semoga kerjasama strategik ini dapat diteruskan dan memberi impak positif kepada pembangunan kepimpinan serta budaya demokrasi dalam kalangan warga Politeknik Kota Bharu.