21 Januari 2026, PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi penekanan lebih menyeluruh terhadap pembangunan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara. Pendekatan ini bertujuan memastikan institusi POLYCC berkembang seiring dengan universiti awam serta relevan dengan keperluan industri dan pembangunan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan baharu perlu dirangka bagi mengubah persepsi bahawa pendidikan di peringkat politeknik dan kolej komuniti merupakan pilihan kedua. Selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tumpuan pendidikan tinggi negara perlu diperluaskan agar tidak hanya tertumpu kepada universiti semata-mata, sebaliknya merangkumi institusi TVET sebagai arus perdana.
Beliau turut menegaskan bahawa pengukuhan tadbir urus institusi pendidikan tinggi awam perlu dilaksanakan secara bersepadu dan selari dengan dasar serta pekeliling kerajaan. Dalam masa yang sama, pengenalan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 (RPTM) akan menjadi dokumen strategik utama bagi memacu hala tuju pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.