22 Januari 2026 - Politeknik Kota Bharu (PKB) berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Kelantan yang diketuai oleh Puan Che Nor Azila Binti Che Ghani, Pengurus YAPEIM Kelantan. Kunjungan ini telah disambut oleh YBrs. Ts. Mohd Hisham bin Makhtar, Pengarah Politeknik Kota Bharu, dan berlangsung di Bilik Al-Farabi.
PKB amat menghargai kesudian pihak YAPEIM memilih PKB sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh kerjasama berimpak tinggi. Antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan Program Ramadhan Madani YAPEIM, cadangan pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) serta potensi kerjasama lain yang memberi manfaat kepada pelajar dan warga PKB.
Turut hadir mewakili pihak YAPEIM Kelantan ialah En. Nik Muhammad Hazwan bin Nek Azis, Pengurus Sosioekonomi; En. Azman bin Zakaria, Pengurus Dana; serta En. Mohd Faizal bin Omar, Ketua Sektor Pemasaran dan Produk Ar-Rahnu YAPEIM.
Manakala wakil Politeknik Kota Bharu yang hadir ialah Ir. Hj. Mohd Zaidi bin Che Mod, Timbalan Pengarah Akademik; En. Abdullah @ Mat Yusof bin Yaacob, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik); En. Zainal Anuar bin Bakri, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar; serta Ts. Hj. Sazami bin Shafi’i, Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan.
Diharapkan jalinan kerjasama strategik ini dapat diteruskan dan diperkukuh demi menyokong pembangunan sosioekonomi, kebajikan serta kesejahteraan komuniti kampus, sejajar dengan aspirasi pendidikan holistik dan kesejahteraan ummah.