23 Januari 2026 - Tahniah dan syabas diucapkan kepada 15 orang anggota yang telah menerima kenaikan pangkat daripada Prebet ke Lans Kopral sempena Perbarisan Pembukaan Latihan Tempatan 23 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah) Tahun 2026 yang berlangsung di Kem Seri Kemunting, Kuantan, Pahang.
Lebih membanggakan, 8 orang daripadanya merupakan Anggota Wataniah Politeknik Kota Bharu (AWPKB) yang terdiri daripada alumni serta pelajar latihan industri pelbagai program pengajian. Pencapaian ini mencerminkan tahap disiplin, komitmen serta semangat jati diri tinggi dalam kalangan warga PKB yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berbakti kepada negara melalui pasukan keselamatan.
Majlis pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Mejar Ts Mohd Azri bin Abdul Ghani, Pegawai Pemerintah 23 Skn RAJD (AW), dan turut disaksikan oleh Kapten Zulfuadi bin Zahudin, Penolong Pegawai Pemerintah.
Semoga kenaikan pangkat ini menjadi pemangkin semangat untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan patriotisme. AWPKB terus melakar kecemerlangan, mengharumkan nama Politeknik Kota Bharu dan Angkatan Tentera Malaysia.