26 Januari 2026 - Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2026 yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), telah berlangsung di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau Melaka, berteraskan Tema 2026: Reformasi POLYCC Memacu Lonjakan TVET Negara.
Melalui penggarisan 13 Iltizam 2026 sebagai kompas tindakan, YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah menegaskan komitmen terhadap pendidikan teknikal dan profesional yang berprestij, inklusif serta selari dengan keperluan industri dan Revolusi Industri 4.0. Penekanan terhadap prinsip No One Student Left Behind, gaji bermaruah, pemerkasaan komuniti, kemampanan dan pengantarabangsaan membuktikan TVET bukan sekadar laluan alternatif, malah pemacu utama pembangunan modal insan negara.

Tahniah diucapkan kepada Politeknik Kota Bharu (PKB) atas kejayaan ditabalkan sebagai salah satu daripada lima (5) Politeknik Premier, bersama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dan Politeknik Port Dickson (PPD). Pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan tinggi terhadap keupayaan PKB dalam menerajui kecemerlangan TVET negara.
Amanat ini mengukuhkan tekad POLYCC di bawah kepimpinan YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah untuk terus melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa MADANI demi masa depan Malaysia yang mampan.