10 September 2022, Kota Bharu : Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke – 35 meraikan 1449 graduan yang berlangsung pada 9 hingga 10 September 2022 bertempat di Dewan Besar, Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu.
Majlis yang berlangsung bagi Sidang 2 pada hari ini ialah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan. Majlis Konvokesyen PKB bagi tahun ini pertama kali diadakan secara bersemuka selepas fasa pandemik dihadiri lebih daripada 2000 orang pelajar bersama ahli keluarga bagi 2 hari tersebut. Ini menunjukan keterujaan para pelajar dan juga ahli keluarga meraikan hari yang paling bermakna dalam hidup mereka.
YBhg. Dato Nik Izani bin Nik Ibrahim, Pengerusi Hamza Motors Sdn. Bhd berkata Kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dijangka akan sebati dengan kehidupan kita pada masa akan datang. Oleh itu, pendidikan TVET akan menjadi bidang tumpuan kerana graduan TVET dilihat mampu menggerakkan Keluarga Malaysia menuju masyarakat 5.0 yang dihasratkan. Politeknik memainkan peranan yang sangat penting dan efisien untuk merealisasikan usaha murni menjadikan TVET sebagai bidang tumpuan negara. Malah Politeknik sentiasa bersedia untuk menjadi institusi yang terkedepan bagi menyediakan graduan TVET dengan bidang kepakaran yang diperlukan oleh industri negara.
Beliau yang juga hadir pada majlis ini bagi menyempurnakan Perasmian Majlis Konvokesyen PKB ke - 35 Sidang Kedua pada hari ini.
Majlis konvokesyen tahun ini turut memberikan penghargaan dan anugerah kepada graduan terbaik dan memberikan komitmen yang tinggi melalui Anugerah Pengarah, Anugerah Kecemerlangan Akademik Dan Kokurikulum. Selain daripada itu Anugerah Hijau MSAE yang ditaja oleh Malaysian Society of Agricultural & Food Engineers (MSAE) diberikan kepada graduan yang terpilih.
‘GRADUAN TVET MEREALISASI ASPIRASI NEGARA’