17 Januari 2023, Politeknik Kota Bharu -Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Kota Bharu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas telah berjaya menganjurkan bengkel pembelajaran berasaskan robot kepada golongan pendidik yang mengajar mata pelajaran elektif iaitu RBT bagi pelajar tingkatan 1, 2 dan 3. Bengkel ini adalah bertujuan untuk memberi meningkatkan kemahiran pendidik dalam merekabentuk teknologi robot, mengaplikasikan arduino dalam reka bentuk robot dan membina aturcara bagi kawalan robot dengan kawalan menggunakan asas arduino uno.
 
Bengkel ini telah dilaksanakan sebanyak 2 siri di mana siri pertama adalah pada 8-9 Januari 2023 dan siri kedua pada 15-16 Januari 2023. Seramai 40 orang guru dari daerah Pasir Mas telah menyertai bengkel ini. Encik Nik Nor Hishamuddin Bin Nik Mustapha, pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik merupakan penceramah bagi kedua-dua siri bengkel dengan dibantu oleh Encik Mohd Faizal Bin Mustafa dan Encik Noor Hisham Bin Koya.
 
Penganjuran program khidmat masyarakat seperti ini dapat memberi peluang kepada staf di jabatan dalam mengaplikasi kebolehan dan pengalaman kepada masyarakat melalui kepakaran bidang. Aktiviti seperti ini amat digalakkan dilakukan secara berkumpulan dan berkala untuk memberi hasil dan impak kepada komuniti yang menerima. Ianya juga merupakan aktiviti yang amat penting untuk memupuk perasaan muhibah antara komuniti setempat dan warga Politeknik Kota Bharu khususnya kakitangan dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik.