22 Februari 2023 (Rabu) : Seramai 40 orang pelajar dan 3 orang Pegawai Bersekutu Briged RELA SISWA SISWI Politeknik Kota Bharu (RELASIS PKB) di bawah Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK PKB) bersama-sama dengan Pegawai Belia dan Sukan, pensyarah dan staf sokongan serta pelajar Kokurikulum Berkredit Sukan Bola Tampar PKB telah berjaya mengembeling tenaga dan kerjasama dengan jayanya dalam melaksanakan Khidmat Bakti (KBR) di Rumah Anak-anak Yatim Salimah, Bachok Kelantan. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah gotong-royong menyediakan mini lanskap dengan menyumbangkan bahan-bahan lanskap seperti papan tanda dan hiasan di tempat program seterusnya menghasilkan satu dekorasi lanskap di situ, membersih kawasan sekitar asrama dan juga masjid. Selain itu, para pelajar PKB turut berkongsi pengetahuan, kepakaran dan kemahiran melalui Asas Robotik dan 'mini tournament' kepada anak-anak penghuni di situ. Bersesuaian dengan pelajar Kokurikulum, konsep Khidmat Bakti melalui pemindahan pengetahuan turut di kongsi dengan mengajar anak-anak penghuni di situ Asas Perkhemahan dan Asas Memasak Survival serta pengenalan terhadap peralatan perkhemahan seperti teknik memasang khemah dan teknik menggunakan misting.
 
Program ini turut mendapat sokongan daripada warga PKB di mana sumbangan berbentuk wang ringgit, papan tanda, peralatan kebun, pakaian, Al-Quran, Yasin, kain sembahyang dan buku-buku turut didermakan kepada 40 orang penghuni yang berumur antara 5 hingga 17 tahun. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan PKB, iaitu Encik Wan Muhammad Marzudi Bin Wan Muhammad. Sekalung tahniah buat pensyarah, staf sokongan dan pelajar yang terlibat selaku jawatankuasa program dan juga warga PKB yang telah memberi sumbangan secara langsung dan tidak langsung.