20 Mac 2023, Parlimen Malaysia : Dalam usaha memberi pendedahan pengalaman sebenar pemimpin negara, Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat (UKK) bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) serta Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) Politeknik Kota Bharu telah menganjurkan Program PKB Future Leaders pada 20 - 21 Mac 2023 bertempat di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.
 
Program ini yang mempunyai beberapa sesi dan aktiviti disertai oleh 29 orang pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar dan Sekretariat Rakan Muda Politeknik Kota Bharu beserta 6 orang pegawai.
 
Objektif program ini adalah untuk para pelajar mengikuti pembelajaran melalui pengalaman secara realiti bagaimana untuk membina karisma dan ketrampilan sebagai seorang pemimpin. Dalam masa yang sama memahami lebih mendalam bagaimana ahli parlimen berbahas mewakili suara rakyat di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Selain daripada itu, melalui program ini, pelajar juga dapat memahami sesebuah dasar dan undang – undang dibentuk di negara ini.
 
Program ini telah dibahagikan kepada beberapa sesi dan aktiviti yang padat iaitu sesi mengikuti perbahasan ahli Parlimen Dalam Dewan Rakyat yang mana pelajar telah diberikan masa selama 30 minit untuk masuk, menyaksikan dan mendengar sendiri perbahasan yang sedang berlangsung. Para pelajar juga dibawa melawat ke sekitar bangunan mercu tanda Perlembagaan Malaysia ini.
 
Slot yang kedua, sesi Beramah Mesra Bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Hj. Mohammad Yusof bin Apdal yang diadakan secara ringkas dan santai di perkarangan Lobi Dewan Rakyat. Dalam sesi ini, YB Timbalan Menteri sempat berkongsi tentang pengalaman beliau sebagai ahli Parlimen Lahad Datu dan juga sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
 
Pada masa yang sama para peserta berpeluang berjumpa dan bertegur sapa bersama ahli-ahli Dewan Rakyat serta ahli-ahli Dewan Negara termasuklah YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke -10.
 
Seterusnya para peserta dibawa mengikuti sesi Dialog Bersama Setiausaha Dewan Negara, dalam sesi ini para pelajar berpeluang berjumpa dan mendengar perkongsian daripada Setiausaha Dewan Negara, YBrs. Tuan Sujairi bin Abdullah. Sepanjang sesi ini para pelajar telah bertanyakan soalan berkaitan bidang tugas setiausaha dan memberikan pandangan bagi mencapai objektif agar pemimpin harus bersifat terbuka dan berpengetahuan luas.
 
Menurut Pn. Nadiya Haneem binti Zaminudin, selaku Pengarah Program ini berkata secara keseluruhan para pelajar amat teruja kerana diberi peluang menyaksikan sesi perbahasan di dalam dewan dan memahami betapa pentingnya menguasai kemahiran berbahas dan mengutarakan pandangan serta pendapat. Para palajar juga sedar tentang pentingnya ketrampilan seorang pemimpin yang berkarisma.
 
Menurut Muhammad Syauki Haikal Bin Abdul Samad, YDP, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PKB, beliau amat teruja kerana ini kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Parlimen Malaysia dan dapat bertemu ahli-ahli Parlimen. Beliau juga tidak sangka dapat bersua dan bertegur sapa dengan YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan beliau juga dapat melihat dan merasai aura karisma pemimpin no. 1 negara.
 
Dalam program yang sama turut diadakan lawatan sambil belajar ke Kompleks Pentadbiran Kerajaan dan juga Nasyrul Quran di Putrajaya yang merupakan kilang membuat Percetakan Al - Quran kedua terbesar selepas Madinah serta Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur.