09 Oktober 2024 - Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Kota Bharu (JSKK PKB) telah menganjurkan Bengkel Kecergasan:Fit Hiking Siri 3/2024 @Bukit Marak bersempena sambutan ambang Hari Sukan Negara 2024 sekaligus sebagai KUDAP JSKK yang ke 17 bagi tahun ini, yang mana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
YBrs. Pengarah PKB, Dr. Hj. Mohd Daud bin Isa bersama-sama KJSKK Tuan Haji Sazami bin Shafi'i serta 45 orang staf PKB telah berjaya menawan puncak Bukit Marak yang berketinggian 373 kaki. Program ini dimulai seawal jam 7.30 pagi dengan pengisian pelbagai slot latihan sepanjang KUDAP berlangsung. Sesi taklimat telah disampaikan oleh Ketua Kursus Kokurikulum PKB, PgR(Bersekutu) Muzimah Aida binti Md Mustafa selaku Penyelaras KUDAP, dengan disusuli ucapan pembukaan oleh YBrs. Pengarah PKB.
 
Sebelum pendakian bermula, slot Pengenalan Pandu Arah (Compass Marching) telah disampaikan oleh 2 Penceramah iaitu En. Mohd. Hasnizul bin Hasbullah yang memiliki Sijil Pengembaraan dan PgR(Bersekutu) Muzimah Aida binti Md Mustafa yang memiliki Sijil Orienteering. Kursus ini disusuli dengan Regangan Pagi yang dikendalikan oleh Pegawai Belia dan Sukan PKB, Encik Wan Rozaimie bin Wan Mamat dan Puan Bazlina binti Bakri. Doa pendakian telah diaminkan oleh Tuan Haji Mohd Rudin bin Fauzi.
Aktiviti praktikal memasak untuk makan tengahari di puncak Bukit Marak menggunakan misting juga telah dilaksanakan. Selain itu, sewaktu di puncak aktiviti 'ice breaking' bersama YBrs Tuan Pengarah PKB, peraturan hutan dan CSR membersih kawasan pendakian telah berjaya dilaksanakan.
 
Sepanjang pendakian, beberapa Checkpoint telah dilalui sebelum tiba di puncak seperti Batu Apal (batu hamparan yang sering dilalui oleh Puteri Saadong ke tempat persemanyamnya) dan Batu Kepala Ular (batu berbentuk kepala ular tedung) yang dapat menyaksikan panorama Bachok dari atas. Checkpoint seterusnya melalui Batu Gendang (alat bunyian yang digunakan Puteri Saadong untuk Majlis Keraian yang menjadi batu), dan seterusnya Pokok akar bertingkat sebelum tiba di Batu Hampar, Batu Tapak Kaki Awang Selamat, Gua Puteri Saadong dan Batu Belah(puncak Bukit Marak) yang dapat menyaksikan panorama Kota Bharu dari puncak. Manakala, Batu Gajah (batu yang menyerupai gajah yang ditunggangi Puteri Saadong) dan Batu Pengasah (yang dapat menakung air) adalah selepas Batu Belah iaitu sebelum melalui trek laluan kedua.
KJSKK PKB telah menutup Bengkel ini dengan berharap program-program sebegini sentiasa mendapat sokongan daripada pihak pengurusan dan semua pihak untuk JSKK merealisasikan matlamat mengajak warga PKB menjalani kehidupan yang lebih sihat dan cergas.
Bengkel ini berjaya merapatkan silaturahim antara satu sama lain, selain dapat meneroka khazanah alam flora dan fauna, menghayati sejarah dan berharap dapat sama-sama di bawah satu 'sport nation'.