27 Julai 2025 - Team Robotik dan Automasi dari Politeknik Kota Bharu telah dijemput untuk mengadakan pameran dan demonstrasi teknologi terkini kepada pelajar-pelajar di Dewan Sri Kala, SMK Padang Kala, bersempena Majlis Penutupan Bulan STEM.
Demonstrasi ini dikendalikan oleh barisan pensyarah yang berpengalaman daripada AJK Robotik Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) dan Automasi serta Drone Technology Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM). Kehadiran mereka bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada teknologi semasa dalam bidang robotik dan automasi, malah memberi pendedahan kepada peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkaitan kejuruteraan dan automasi.
Melalui sesi interaktif ini, pelajar sekolah diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana teknologi digunakan dalam dunia sebenar — daripada asas pengaturcaraan robotik, pengendalian hingga kepada konsep automasi industri.
Terima kasih kepada pihak SMK Padang Kala atas jemputan dan sambutan mesra yang diberikan. Semoga kerjasama sebegini terus mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam memperkasakan pendidikan STEM negara.