22 Oktober 2025 - Program SOLE 1.0 (Seeds of Entrepreneurial Legacy) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu (PKB). Program anjuran Unit Latihan Sepanjang Hayat, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dengan kerjasama Unit Keusahawanan PKB dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Kelantan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar kursus MPU22012 Keusahawanan mengenai kepentingan pendaftaran perniagaan yang sah di bawah SSM.
Melalui program ini, pelajar didedahkan dengan jenis-jenis pemilikan perniagaan, prosedur pendaftaran, serta peluang mendaftar perniagaan secara percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP).
Program ini telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Hj. Mohd Zawawi bin Ahmad, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan En. Ruslan bin Daud, Pengurus Seksyen Penguatkuasaan SSM, yang turut berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan dunia keusahawanan.
Turut hadir YBrs. Ts. Mohd Hisham bin Makhtar, Pengarah Politeknik Kota Bharu, barisan pengurusan, pensyarah, serta pelajar yang terlibat.
Penganjuran SOLE 1.0 ini bukan sekadar memberi teori, malah membuka ruang sebenar kepada pelajar untuk memulakan langkah pertama sebagai usahawan muda berdaftar, selaras dengan Lonjakan 1 Politeknik — Graduan Holistik dan Bercirikan Keusahawanan.
Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat atas pelaksanaan program yang memberi impak besar kepada pembangunan sahsiah dan daya keusahawanan pelajar PKB.