Program 68th Jamboree On The Air (JOTA) dan 29th Jamboree On The Internet (JOTI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 telah diadakan dengan jayanya di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Tanjong Malim, Perak pada 17 hingga 19 Oktober 2025. Program bertaraf antarabangsa ini merupakan penganjuran tahunan World Organization of the Scout Movement (WOSM) yang menghimpunkan ahli pengakap dari seluruh negara bagi memperkukuh jaringan komunikasi dan pertukaran maklumat melalui radio serta platform digital.
Lebih daripada 600 peserta dan petugas telah menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang menggabungkan elemen komunikasi, teknologi dan kemahiran digital seperti SSTV, ThinkerCad, JOTA 9M4PSAS, JOTI 3MY26M, Morse Code, Digital Entrepreneurship, Resistance Total, dan STEM Taman Eko-Pelajaran PSAS. Peserta turut berpeluang memperoleh Lencana YUNGA: Energy Challenge Badge sebagai pengiktirafan penyertaan aktif mereka.
Turut hadir memberikan sokongan ialah agensi luar seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui Kempen Internet Selamat (KIS) yang menekankan kepentingan penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab.
Empat orang Kelana dari Kelanasiswa Malaysia Politeknik Kota Bharu turut berkhidmat sebagai petugas sepanjang program ini, memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran aktiviti dan perjalanan acara selama tiga hari. Penglibatan ini mencerminkan semangat kesukarelawanan, kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda TVET.
Program turut dimeriahkan dengan kehadiran delegasi World Organization of the Scout Movement (WOSM) iaitu Chrissy Pollithy (Jerman), Raul Molina (Sepanyol) dan Jacob Murray (Kanada) yang hadir memberi sokongan serta berkongsi pengalaman dalam komuniti pengakap global.
Majlis penutup diadakan pada 19 Oktober 2025 di Dewan Muallim, PSAS, dan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Shazily bin Ismail Bakti, Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menekankan kepentingan program JOTA-JOTI sebagai platform tahunan yang menyatukan pengakap di seluruh dunia.
Secara keseluruhannya, JOTA-JOTI 2025 bukan sekadar acara komunikasi global, tetapi medan membina semangat perpaduan, mengasah kemahiran digital serta memperkukuh jaringan kerjasama antara pengakap dan institusi pendidikan TVET di Malaysia.