Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Politeknik Malaysia (POLYCUP) 2016
- Butiran
- Jumlah paparan: 1129
9 Mei 2016, Kok Lanas – Kejohanan Bola Sepak Politeknik Malaysia atau lebih dikenali sebagai PolyCup telah bermula pada tahun 2012 dan telah menjadi acara tahunan dalam takwim Majlis Sukan Politeknik (MSP). PolyCup 2016 ini merupakan kejohanan edisi kali ke-5 yang dianjurkan oleh Politeknik Kota Bharu selaku Pusat Pembangunan Sukan Bola Sepak Politeknik Malaysia dengan kerjasama MSP.
Penyertaan bagi kejohanan ini adalah melalui Politeknik Negeri, di mana sebanyak 11 buah Politeknik Negeri telah menyertainya iaitu dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. Objektif penganjuran kejohanan ini adalah untuk menjadi platform kepada para pelajar untuk mengembangkan bakat dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, bakat-bakat baru di kalangan pelajar politeknik dapat dicungkil untuk diserapkan ke dalam Pasukan Politeknik Malaysia.
Majlis Perasmian Kejohanan PolyCup 2016 telah diadakan pada 9 Mei 2016 bertempat di Padang A PKB dan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Amin bin Hamat, Pengarah Politeknik Nilai, selaku Timbalan Yang Dipertua 1 MSP. Beliau telah diiringi ke tengah padang oleh Pengarah PKB, Tuan Haji Noor Azahan bin Othman bersama-sama barisan tertinggi pengurusan PKB untuk menendang masuk bola ke gawang gol sebagai gimik perasmian.