6 September 2023, Politeknik Kota Bharu : Karnival Pendidikan Kerjaya Murid Sukses Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 dihadiri lebih 7000 orang pelajar sekolah menengah dan rendah daripada seluruh negeri Kelantan yang berlangsung selama 2 hari di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas.
Majlis perasmian karnival yang meriah ini telah disempurnakan oleh YBrs. En. Kamal Ruzaman bin Hassan, Ketua Penolong Pengarah yang mewakili Pengarah Pendidikan JPN Kelantan. Turut hadir bersama YBrs. Gs. Sr Hj Mohd Fikri Ismail, Pengarah Politeknik Kota Bharu, YBrs. En. Zaidi bin Kimat, Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Negeri Kelantan, YBrs. En. Che Anuzi bin Yusoff, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, ketua-ketua jabatan Politeknik Kota Bharu serta pegawai – pegawai kanan JPN.
Karnival ini melibatkan pameran oleh 40 buah reruai yang terdiri daripada IPTA dan IPTS seluruh negara termasuk 11 buah gerai jualan.
Karnival ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama bersama Politeknik Kota Bharu telah berlangsung 5hb - 6hb September 2023 bagi penganjuran di Negeri Kelantan. Hampir semua sekolah menengah di seluruh negeri Kelantan telah dijemput melalui Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
Menurut Gs. Sr Hj Mohd Fikri Ismail, Pengarah Politeknik Kota Bharu Program Sukses yang diadakan ini adalah bersifat komunikasi bersemuka antara institusi pendidikan dengan pelajar bagi memberikan info secara terus berkaitan dengan bidang-bidang dan juga tawaran yang terdapat di setiap institusi. Ia memberi peluang dan ruang kepada pelajar sekolah dan juga lepasan SPM dan STPM untuk melihat dengan lebih jelas dan membuat pilihan yang terbaik dalam hidup mereka.
Kemeriahan karnival ini ditambah lagi dengan penglibatan team PolyCC di reruai pertama di dalam Dewan Jubli Perak iaitu Politeknik Kota Bharu, Politeknik Jeli, Kolej Komuniti Pasir Mas dan Kolej Komuniti Kok Lanas dengan pelbagai aktiviti menarik.
Team Politeknik Kota Bharu juga telah mengadakan beberapa aktiviti interaktif antaranya PKB Tour, Drone Sukses Challenge 2023, Pameran Apontez PKB Skull Garage, Paintball dan juga jualan gerai keusahawanan.