10 Februari 2025 – Lawatan tapak bagi meninjau projek menaik taraf infrastruktur dan fasiliti di Politeknik Kota Bharu telah diketuai oleh Jurutera Awam Penguasa Kanan, Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan dari Ibu Pejabat JKR Malaysia, Ir. Ts. Fadzilah binti Sulaiman. Lawatan ini bertujuan memastikan kerja-kerja pembangunan berjalan lancar serta menepati spesifikasi dan garis panduan yang ditetapkan (skop projek 1 hingga 4).
Antara elemen yang diberi perhatian ialah menaiktaraf bumbung dewan kuliah, kemudahan asrama dan Masjid Ibrahimi, sistem perpaipan serta perkara-perkara lain yang berkaitan. Turut hadir dalam lawatan ini ialah Dr. Bibie Sara binti Salleh, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi JPPKK, wakil pengurusan politeknik, pegawai JKR negeri dan pusat, serta pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi. Selain mengenal pasti cabaran yang dihadapi, sesi perbincangan bagi penyelesaian projek siap mengikut jadual yang ditetapkan turut diadakan.
Dengan pelaksanaan projek ini, diharapkan kemudahan di Politeknik Kota Bharu dapat dipertingkatkan untuk memberikan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif. Peningkatan infrastruktur ini juga akan menyokong pembangunan modal insan yang lebih berkualiti serta memperkukuh peranan politeknik dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.